Soalan Mengenai Covid-19 dan Fertiliti
Adakah Coronavirus memberi kesan kepada telur, sperma dan tahap kesuburan?
Jangkitan Covid-19 adalah disebabkan oleh virus SARS-nCOV2. Huruf "n" disitu mewakili perkataan "Novel" bermakna baharu. Virus ini baru sahaja di kesan semenjak Disember 2019, bermakna para saintis dan para doktor baru mempelajari tentang kesan-kesan jangkitan ini kepada tahap kesuburan seseorang manusia. Setakat 3 bulan ini, dengan jumlah kes lebih dari 500,000 di seluruh dunia setakat ini, tiada kesan negatif dapat dilihat kepada telur, sperma atau tahap kesuburan seseorang. Ini bermakna kualiti telur dan kualiti sperma tidak terjejas dengan jangkitan virus ini.
Adakah jangkitan Covid-19 memberi kesan terhadap peratus kejayaan rawatan kesuburan?
Setakat ini tiada bukti yang menunjukkan jangkitan ini mengganggu peratus kejayaan rawatan kesuburan. Tetapi, jika seseorang dapat jangkitan Covid-19 yang serius seperti radang paru-paru, kemasukan ke ICU atau memerlukan bantuan pernafasan tentunya anda tidak akan dapat meneruskan rawatan anda.
Jadi adalah dinasihatkan supaya anda mengikuti langkah-langkah untuk mengurangkan risiko jangkitan iaitu:
#stayathome: hanya keluar untuk keperluan penting seperti berjumpa doktor, membeli makanan
#washyourhands: kerap basuh tangan
#wearmask: pakai topeng muka
#socialdistancing: elakkan berkumpul beramai-ramai
Adakah mereka yang menjalani rawatan kesuburan lebih terdedah kepada jangkitan Covid-19?
Tidak jika anda mengikuti saranan seperti di atas. Di Sophea kami mengambil berat perkara ini. Oleh itu langkah yang diambil termasuklah menyaring kesemua pasangan terlebih dahulu dengan menghubungi mereka sebelum temujanji. Ini adalah memastikan hanya mereka yang sihat sahaja akan hadir temujanji di klinik. Khidmat konsultasi atas panggilan diberikan pada kes-kes yang sesuai. Hanya yang perlu hadir sahaja akan ke klinik seperti mereka yang memerlukan ujian darah atau ultrasound. Sejurus hadir, kami akan melakukan saringan suhu badan dan menggunakan hand sanitizer untuk pasangan. Kami mempunyai dua pasukan yang bergilir dalam memberikan khidmat rawatan agar pendedahan adalah minima. Waktu temujanji dianjakkan bagi memastikan tidak terdapat ramai yang menunggu pada suatu ketika. Jika terdapat lebih dari 2 pasangan yang menunggu, mereka akan menunggu di dalam kereta dan dipanggil ke klinik apabila waktu temujanji tiba. Keputusan ujian yang diambil diberitahu melalui atas talian, telefon, WhatsApp atau emel.
Adakah saya perlu menghentikan rawatan kesuburan saya?
Untuk pesakit yang sedang menjalani stimulasi pembesaran telur, adalah lebih baik jika anda meneruskan sehingga pengeluaran telur dan membekukan semua embrio yang terhasil dan melakukan proses pemindahan embrio di masa akan datang. Meneruskan rawatan juga penting untuk pesakit yang kesuntukan masa dalam melindungi fertiliti mereka seperti pesakit kanser yang perlu melalui proses kemoterapi atau wanita yang mempunyai rizab telur yang kurang. Walaupun setakat ini tiada bukti yang menunjukkan jangkitan virus kepada bayi di dalam kandungan tetapi data sedia ada adalah terhad. Lagipun, wanita mengandung mempunyai daya imunasasi yang lebih rendah yang boleh mendedahkan beliau kepada sebarang jangkitan.
Apakah saranan dari segi kesuburan ketika wabak Covid-19?
Oleh kerana keadaan yang tidak menentu pada masa ini, ramai orang mengalami tekanan, risau dan tidak tahu bagaimana perjalanan fertiliti mereka. Ini tidak akan memberi apa-apa kebaikan untuk diri anda. Adalah lebih baik anda guna masa yang ada sekarang ini untuk membuat persediaan yang akan membantu anda untuk berjaya dalam rawatan anda apabila keadaan kembali pulih. Seperti, mengambil pemakanan yang sihat, melakukan senaman tiga ke lima kali seminggu, menangani tekanan dengan melakukan ibadah/meditasi atau melakukan aktiviti hobi anda. Jangan lupa juga untuk mengambil vitamin dan supplement yang membantu kesuburan. Sekiranya terdapat apa-apa persoalan atau kekeliruan anda boleh menghubungi kami di Pusat Kesuburan Sophea dan kami sentiasa sedia membantu.