KONSEPSI SEMULA JADI
Seseorang isteri itu mengandung apabila telur yang dilepaskan melalui proses ovulasi berjaya disenyawakan oleh sperma suami. Sesetengah pasangan berjaya mengandung sejurus selepas berkahwin. Manakala sesetengah pasangan pula mengambil masa yang lebih lama untuk mengandung. Jika 100 pasangan yang cuba mengandung, 80 peratus dari mereka akan mengandung dalam masa setahun. Selebihnya mengambil masa yang lebih lama atau memerlukan rawatan kesuburan bagi membantu mereka mengandung.
Bagi memahami konsepsi semulajadi atau mengandung ini, adalah penting untuk setiap pasangan memahami kitaran haid isteri. Hari pertama isteri mengalami darah haid, ianya dikira sebagai hari pertama dalam kitaran. Kebanyakkan wanita mempunyai purata kitaran haid selama 28 hari. Ovulasi berlaku dalam 14 hari selepas haid. Untuk mengandung, telur yang dilepaskan melalui proses ovulasi mempunyai tempoh selama 24 jam untuk disenyawakan.
Sperma boleh hidup di dalam rahim selama 7 hari. Oleh itu sekiranya sperma berada di dalam rahim beberapa hari sebelum ovulasi, ianya boleh bergerak menuju tiub fallopian dan menantikan kehadiran telur untuk proses persenyawaan berlaku. Proses persenyawaan berlaku di dalam tiub fallopian. Selepas disenyawakan, embrio akan terbentuk dan membahagi. Pada masa yang sama embrio tersebut akan bergerak kearah dinding rahim bagi proses penempelan.
Oleh itu bagi pasangan suami isteri yang merancang untuk menimang cahaya mata, adalah digalakkan untuk melakukan hubungan seks setiap 2 hingga 3 hari sekali dan bukanlah hanya pada hari ovulasi sahaja.