Apakah yang Dimaksudkan dengan Cabaran Kesuburan Wanita?
Cabaran kesuburan wanita merujuk kepada kesukaran untuk hamil selepas 12 bulan melakukan hubungan kelamin secara berkala tanpa menggunakan kaedah pencegah kehamilan. Bagi wanita berusia 35 tahun ke atas, penilaian kesuburan biasanya disarankan selepas 6 bulan mencuba.
Antara faktor yang boleh menjejaskan kesuburan wanita ialah:
- Umur: Kesuburan wanita menurun secara semula jadi apabila usia meningkat, terutamanya selepas usia 35 tahun, seiring dengan pengurangan bilangan dan kualiti telur.
- Masalah ovulasi: Telur tidak dilepaskan secara teratur, sekali gus mengurangkan peluang untuk hamil.
- Gangguan hormon: Keadaan seperti Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) atau Sindrom Ovari Metabolik Poliendokrin (PMOS) dan gangguan tiroid boleh menjejaskan proses ovulasi.
- Masalah struktur: Tiub fallopio yang tersumbat atau keadaan tertentu pada rahim boleh menyukarkan proses persenyawaan atau kehamilan.
- Faktor gaya hidup: Merokok, pengambilan alkohol secara berlebihan dan berat badan yang tidak sihat boleh mempengaruhi kesihatan reproduktif.
Mengapa Umur Mempengaruhi Kesuburan Wanita?
Kesuburan wanita menurun secara semula jadi apabila usia meningkat, dengan penurunan yang lebih ketara selepas usia 35 tahun. Ini kerana:
- bilangan telur dalam ovari semakin berkurangan.
- kualiti telur turut menurun, sekali gus meningkatkan risiko keguguran dan kelainan kromosom pada embrio.
- perubahan berkaitan usia boleh menjejaskan fungsi reproduktif dan mengurangkan peluang untuk hamil.
Jika anda ingin merancang kehamilan pada masa hadapan, pakar fertiliti kami mungkin menyarankan Ujian Anti-Müllerian Hormone (AMH) sebagai sebahagian daripada penilaian kesuburan. Ujian darah ringkas ini membantu menganggarkan rizab ovari, iaitu jumlah telur yang masih terdapat di dalam ovari.
Keputusan AMH perlu dinilai bersama faktor lain seperti umur, sejarah kesihatan dan pemeriksaan lanjut kerana ujian ini tidak mengukur kualiti telur atau menentukan peluang untuk hamil.
Bagaimanakah Masalah Ovulasi Menjejaskan Kesuburan?
Ovulasi ialah proses apabila ovari melepaskan telur yang matang untuk disenyawakan. Jika ovulasi tidak berlaku atau berlaku secara tidak teratur, peluang untuk hamil boleh berkurangan kerana telur tidak tersedia secara konsisten untuk disenyawakan.
Antara tanda yang mungkin menunjukkan masalah ovulasi ialah:
- kitaran haid yang tidak teratur
- haid tidak datang selama beberapa bulan
- jarak antara haid terlalu singkat atau terlalu panjang
- kitaran haid yang tidak menentu juga boleh menyukarkan anda mengenal pasti waktu subur.
Bagaimanakah Gangguan Hormon Menjejaskan Kesuburan?
Hormon memainkan peranan penting dalam mengawal kitaran haid dan proses ovulasi. Apabila tahap atau fungsi hormon terganggu, telur mungkin tidak dilepaskan secara teratur, sekali gus mengurangkan peluang untuk hamil.
Gangguan hormon boleh:
- menyebabkan ovulasi tidak teratur atau tidak berlaku
- mengganggu kitaran haid
- menjejaskan persediaan lapisan rahim untuk implantasi embrio
Antara keadaan yang berkaitan dengan gangguan hormon ialah PCOS atau PMOS dan gangguan tiroid.
Tanda-tandanya berbeza mengikut punca dan mungkin termasuk:
- haid tidak teratur atau tidak datang selama beberapa bulan
- perubahan berat badan tanpa sebab yang jelas
- pertumbuhan bulu yang berlebihan
- jerawat atau rambut semakin menipis
- mudah letih atau mengalami keletihan berpanjangan
Tanda-tanda ini tidak semestinya menunjukkan gangguan hormon. Penilaian doktor dan ujian yang bersesuaian diperlukan untuk mengenal pasti puncanya.
Bagaimanakah Masalah Struktur Menjejaskan Kesuburan?
Masalah struktur merujuk kepada perubahan fizikal pada rahim, tiub fallopio atau kawasan pelvis. Bergantung pada lokasi dan tahapnya, keadaan ini boleh mengganggu proses persenyawaan, implantasi embrio atau perkembangan kehamilan.
Antara masalah struktur yang boleh menjejaskan kesuburan ialah:
- Tiub fallopio tersumbat atau rosak: Menyukarkan sperma bertemu dengan telur atau menghalang embrio daripada bergerak ke rahim.
- Keadaan tertentu pada rahim: Fibroid, polip atau perbezaan pada bentuk rahim boleh menjejaskan implantasi embrio, bergantung pada saiz dan lokasinya.
- Lekatan pelvis atau tisu parut: Boleh terbentuk akibat jangkitan, pembedahan atau endometriosis dan menjejaskan kedudukan atau fungsi organ reproduktif.
Bagaimanakah Gaya Hidup Mempengaruhi Kesuburan?
Gaya hidup boleh mempengaruhi kesihatan reproduktif dan peluang untuk hamil. Mengamalkan gaya hidup yang sihat dapat menyokong fungsi reproduktif dan kesihatan keseluruhan, namun tidak menjamin kehamilan atau mengatasi semua punca cabaran kesuburan.
Antara faktor yang boleh memberi kesan ialah:
- Merokok: Boleh menjejaskan fungsi ovari dan mengurangkan peluang untuk hamil.
- Pengambilan alkohol secara berlebihan: Boleh memberi kesan kepada kesihatan reproduktif.
- Berat badan terlalu tinggi atau terlalu rendah: Boleh mengganggu keseimbangan hormon, kitaran haid dan ovulasi.
- Pemakanan yang tidak seimbang: Boleh menjejaskan kesihatan keseluruhan yang menyokong fungsi reproduktif.
- Tekanan berpanjangan: Boleh menjejaskan kesejahteraan, tidur dan hubungan intim, tetapi bukan semestinya punca langsung cabaran kesuburan.
- Pendedahan kepada bahan kimia tertentu: Pendedahan berulang kepada sesetengah bahan kimia atau toksin di tempat kerja atau persekitaran boleh menjejaskan kesihatan reproduktif.
Cabaran kesuburan bukan semestinya berpunca daripada gaya hidup. Penilaian doktor dapat membantu mengenal pasti faktor yang mungkin terlibat dan langkah yang sesuai untuk setiap individu.
Bilakah Anda Perlu Berjumpa dengan Pakar Fertiliti?
Masa yang disarankan untuk mendapatkan penilaian kesuburan bergantung pada usia dan keadaan kesihatan anda:
- Di bawah 35 tahun: Berjumpa pakar jika masih belum hamil selepas 12 bulan mencuba.
- 35 hingga 39 tahun: Dapatkan penilaian selepas enam bulan mencuba.
- 40 tahun ke atas: Berbincang dengan pakar kesuburan seawal mungkin.
Anda disarankan mendapatkan nasihat lebih awal tanpa menunggu tempoh tersebut jika mempunyai kitaran haid yang tidak teratur, keadaan seperti PCOS atau endometriosis, sejarah pembedahan pelvis, keguguran berulang atau faktor lain yang mungkin menjejaskan kesuburan.
Penilaian awal dapat membantu doktor memahami keadaan anda, mengenal pasti faktor yang mungkin terlibat dan membincangkan langkah seterusnya yang bersesuaian.
Ambil Langkah Seterusnya Bersama Pakar Fertiliti Kami
Jika anda sedang berusaha untuk hamil dan memerlukan panduan, pakar fertiliti Sophea sedia mendengar, memahami keadaan anda dan membantu mengenal pasti pilihan yang sesuai.
Kenali pakar-pakar fertiliti kami di bawah dan pilihlah doktor untuk membuat temu janji anda.
-
Dr Norazlin Rosli
Pengarah Perubatan (Sophea Petaling Jaya), Pakar Obstetrik, Ginekologi & Fertiliti- Sophea@Petaling Jaya
-
Dr Noor Shaheeran Binti Abdul Hayi
Pakar Obstetrik, Ginekologi & Fertiliti- Sophea@Petaling Jaya
-
Dr Maiza Binti Tusimin
Pakar Obstetrik, Ginekologi & Fertiliti- Sophea@Petaling Jaya
-
Dr Salleha Binti Khalid
Pengarah Perubatan (Sophea Bangi) & Pakar Obstetrik, Ginekologi & Fertiliti- Sophea@Bangi
-
Dr Nuguelis Binti Razali
Pakar Obstetrik, Ginekologi & Fertiliti- Sophea@Bangi